Sistem tanaman ini mendapat namanya kerana ia menggunakan Wick (sumbu) untuk menyerap nutrien daripada tangki nutrien. Ia adalah sistem hidroponik yang paling ringkas dan mudah. Oleh itu ia amat sesuai bagi kita baru pertama kali ingin mencuba dan mempelajari sistem hidroponik. Sistem Wick tidak memerlukan pam dan tidak melibatkan komponen yang bergerak.

Walau bagaimanapun, ada juga pengamal Sistem Wick yang menggunakan Air Pump untuk memberikan bekalan oksigen tambahan ke dalam tangki nutrien. Ini kerana oksigen yang cukup dapat membantu dalam meningkatkan dan mempercepatkan pertumbuhan tanaman. Sistem ini juga sesuai dijadikan sebagai model pembelajaran di sekolah atau dalam kursus-kursus yang berkaitan dengan hidroponik.
Komponen Asas Dalam Sistem Wick.
- Tangki Nutrien
- Net Pot
- Wick (sumbu dari kain Flannel)
- Media Tanaman (Leca Ball, Perlite,Batu Sungai)
Cara Sistem Wick Berfungsi.
Sumbu yang digunakan dalam Sistem Wick akan menyedut nutrien dari tangki nutrien seperti konsep Sponge. Sumbu ini akan sentiasa dalam keadaan basah dan akar tanaman akan menyerap nutrien daripada sumbu tersebut. Keadaan sumbu yang sentiasa basah membolehkan tanaman sentiasa dapat menyerap nutrien yang diperlukan. Untuk tingkatkan jumlah nutrien yang diserap, kita boleh gunakan lebih daripada satu sumbu.
Nutrien yang digunakan dalam sistem ini adalah sama seperti sistem-sistem lain dimana nilai ppm yang sama diperlukan. Nutrien yang selau digunakan adalah Nutrien AB Mix.
Kesesuaian Jenis Tanaman.
Sistem Wick amat sesuai untuk tanaman jenis herba, tanaman bersaiz kecil dan tanaman yang tidak berbuah sahaja. Ini kerana tanaman yang besar atau berbuah memerlukan sumber nutrien yang lebih tinggi dan kadar serapan nutrien yang lebih cepat. Lebih-lebih lagi bagi tanaman yang berbuah kerana nutrien bukan sahaja untuk pertumbuhan tanaman, tetapi juga untuk pembesaran buah.
Antara jenis tanaman yang sesuai adalah.
- Salad
- Kangkung
- Sawi Pak Choy
- Seleri
- Kesum
- Ketumbar
- Rosemary
- Oregano
- Thyme
- Basil
- Peppermint